Oleh : Wan Mohamad Sahran Wan Ahmadi / Foto : Mohammad Hasif Matzin
RIMBA, Isnin, 2 Februari. - Nisfu Syaaban yang jatuh pada malam ini terus disemarakkan oleh umat Islam dan tidak ketinggalan juga disambut oleh Kementerian Pertahanan dengan melaksanakan secara serentak di kesemua surau Perkhemahan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), termasuk Masjid Pulau Baru-baru.
Tumpuan sambutan diadakan di Surau Al-Barakah, Pangkalan Tentera Udara, Rimba dan dihadiri oleh seramai 370 jemaah.
Menyertai para jemaah di sini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan II, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Halbi bin Haji Mohd. Yussof, selaku tetamu kehormat majlis.
Majlis dimulakan dengan Sembahyang Fardu Maghrib Berjemaah, diikuti dengan Sembahyang Sunat Hajat, bacaan Doa Selamat dan Doa Kesyukuran Khas bagi memohon kesihatan dan kesejahteraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.
Majlis kemudian diteruskan dengan bacaan Surah Yaa Siin sebanyak tiga kali berserta doa yang dipimpin oleh Imam Surau Al-Barakah, Awang Muhammad Fathurrahman bin Haji Awang Matali, dan diakhiri dengan Sembahyang Fardu Isyak Berjemaah.
Acara keagamaan berkenaan sudah menjadi amalan di negara ini dalam menghidupkan malam Nisfu Syaaban yang penuh keistimewaan dengan bacaan Surah Yaa Siin di masjid, surau serta rumah persendirian dengan niat untuk dikurniakan keberkatan di samping memohon keampunan, keredaan serta perlindungan dari Allah Subhanahu Wata'ala.
Hadir sama, Timbalan Pemerintah ABDB, Brigedier Jeneral (U) Dato Seri Pahlawan Mohd. Sharif bin Dato Paduka Haji Ibrahim; Pemangku Pemerintah Tentera Udara Diraja Brunei, pengarah-pengarah, pegawai-pegawai kanan, pegawai-pegawai dan warga Kementerian Pertahanan.
Turut hadir, Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, Pemangku Pegawai Daerah Brunei dan Muara, Penghulu Mukim Gadong dan Ketua-ketua Kampung Rancangan Perumahan Negara Kampung Rimba.